2,500 ORANG MELAKA DAPAT LESEN PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER LIMAU 14 September – Program MyLesen yang menawarkan lesen motosikal percuma buat golongan B40 telah memberi manfaat kepada 2,500 rakyat Melaka.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jumlah itu membabitkan 1,537 di daerah Melaka Tengah, 553 di daerah Jasin dan 410 di daerah Alor Gajah.

Menurut beliau, program itu akan berlangsung sehingga hujung tahun di mana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membimbing peserta daripada perkara asas hinggalah mendapatkan lesen motosikal B2.

Jelas beliau, program itu juga akan membabitkan sebanyak lapan pusat memandu seluruh negeri merangkumi tiga pusat memandu di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, manakala dua lagi di daerah Jasin.

“Program ini hanya layak dinikmati oleh golongan B40 bermula dari umur 16 tahun ke atas yang tidak pernah mempunyai lesen memandu, selain tidak mempunyai saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ.

“Semua peserta ini dipilih di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), di mana pemimpin peringkat DUN akan menjadi perantara kepada masyarakat.

“Alhamdulillah kita telah memilih semua 2,500 peserta untuk mendapatkan lesen percuma ini dan ia dijangka berakhir menjelang hujung tahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Kompleks Japerun Ayer Limau, di sini.

Menurut Hameed, program MyLesen itu membabitkan peruntukan berjumlah hampir RM875,000, dan beliau berharap inisiatif tersebut akan diteruskan pada tahun hadapan.

“Ini kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan sebaik ia dibuka kepada orang ramai.

“Ia juga menunjukkan bahawa kesedaran rakyat untuk mendapatkan lesen semakin tinggi, selain sudah semakin ramai yang cakna terhadap kepentingan aspek keselamatan di jalan raya,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7542
Kongsi :
Previous post PESTA PANTAI BERI NAFAS BAHARU UNTUK TANJUNG BIDARA
Next post MEMBUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT DI MELAKA
Ubah saiz-+=