Sorting by

×

250 pelajar Orang Asli terima bantuan persekolahan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TABOH NANING 22 Julai – Seramai hampir 250 pelajar Orang Asli di sebahagian kawasan daerah Alor Gajah menerima bantuan persekolahan daripada Kerajaan Negeri.

Bantuan yang disalurkan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) itu berupa wang tunai RM50 bagi meringankan beban golongan itu membeli kelengkapan persekolahan.

Majlis penyerahan bantuan tersebut telah disampaikan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin.

Zulkiflee berkata, secara keseluruhan sejumlah RM30,000 telah diperuntukan Kerajaan Negeri bagi bantuan persekolahan melibatkan kira-kira 600 pelajar Orang Asli di Melaka.

Katanya, peruntukan itu telah diumumkan Ketua Menteri pada pembentangan Bajet 2023 Negeri Melaka tahun lalu.

“Alhamdulillah bantuan ini kita sampaikan kepada pelajar-pelajar ini melibatkan murid tadika dan sekolah rendah, serta pelajar sekolah menengah.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sama sekali tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli dan sentiasa cakna terhadap pendidikan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas majlis penyerahan bantuan itu di Kompleks Japerun Taboh Naning.

Menurut Zulkiflee, selain bantuan persekolahan, pelbagai lagi insentif lain berkaitan pendidikan turut disalur Kerajaan Negeri antaranya mewujudkan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Bukit Payung.

Katanya, walaupun baharu sahaja diwujudkan, sekolah agama itu menerima sambutan cukup menggalakkan daripada hampir 100 pelajar Orang Asli.

“Pada awalnya, kita hanya buka dua kelas sahaja, tetapi disebabkan sambutan menggalakkan, kita telah menambah satu kelas lagi menjadikan hampir 100 pelajar mengikuti pengajian agama Islam di situ.

“Malah, pelajar bukan Islam juga berminat mengikuti pembelajaran di SRA JAIM itu dan saya sendiri telah menaja mereka membeli pakaian sekolah agama untuk mereka mendalami ilmu agama di sekolah berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1000
Kongsi :
Previous post MAKAF terima geran padanan sukan RM1 juta
Next post Tiada anak Orang Asli keciciran akademik
Ubah saiz-+=