250 orang Melaka bakal pecah rekod masak asam pedas
BANDAR HILIR 21 Julai – Festival Masakan Warisan Melaka (FMWM) 2022 bakal mencatatkan rekod baharu ke dalam Malaysia Book of Record.
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, penganjurannya bakal memecah rekod bagi kategori penyediaan masakan asam pedas teramai iaitu seramai 250 orang.
Menurutnya, banyak lagi acara menarik disediakan sepanjang tiga penganjuran FMWM yang bermula esok di sepanjang Jalan Kota Melaka.
“Selain penyediaan asam pedas teramai, pengunjung berpeluang memenangi lebih 25 hadiah berupa barangan elektrik yang disediakan sempena acara cabutan bertuah,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyertai program Bicara@Muzium: Seni Bina Kubu Pertahanan Melayu yang dihadiri seramai 120 peserta dekat Muzium Rakyat Jalan Kota.
Lebih 50,000 orang dijangka memeriahkan penganjuran FMWM kali ke-13 tahun ini.
Sementara itu mengenai program Bicara@Muzium hari ini, kata Akramuddin, pihaknya akan mengedarkan risalah kepada pelajar dari pelbagai peringkat mengenai pengetahuan kewujudan kubu lama yang terdapat di Melaka.
“Banyak dari kalangan generasi baharu hari ini yang tidak tahu tentang kewujudan kubu lama, masih ada lagi yang tidak mengetahui asal usul pembinaan kubu Ngah Ibrahim dan sebagainya,”kata beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.