250 kediaman Taman Bukit Katil Damai terima bakul makanan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 11 Julai – Sebanyak 250 bakul makanan diagihkan buat penduduk Taman Bukit Katil Damai, hari ini.

Sumbangan kepada 250 kediaman terpilih itu diagihkan oleh Jawatankuasa Surau As Sakinah di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa surau berkenaan, Abu Hassan Abdullah berkata, agihan barangan makanan dilaksanakan itu sebagai tanda keprihatinan terhadap penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

PETUGAS program memunggah beras ke dalam kenderaan untuk disalurkan kepada penduduk yang memerlukan.

Menurutnya, barangan makanan itu hasil sumbangan awam dan orang perseorangan yang berkongsi rasa tanggungjawab sebagai sebuah komuniti dalam taman perumahan terbabit.

“Menerusi agihan ini anggota komuniti yang terkesan akan mengetahui bahawa sebenarnya wujud pihak yang boleh mereka rujuk apabila berlaku sebarang masalah.

“Program siri kedua diadakan selepas kali pertama pada awal Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu adalah satu tanggungjawab sosial masyarakat yang perlu dilakukan oleh pihak jawatankuasa.

“Dalam keadaan seperti ini (pandemik) wajar pihak yang mempunyai kelebihan tampil menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

PETUGAS program menyampaikan barangan makanan kepada seorang penduduk.

Program diadakan pada jam 10 pagi tadi dibantu oleh pihak Japerun Ayer Keroh serta penduduk taman perumahan terbabit bagi mengagihkan bakul makanan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hadir sama, Pengerusi Penyelaras JAPERUN Ayer Keroh, Ariff Yusa dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Katil Damai, Norazle Sulaiman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post Perkampungan Portugis selesai disanitasi
Next post 8 kematian lagi akibat COVID-19 hari ini
Ubah saiz-+=