Sorting by

×

25 peratus premis di Melaka terdedah risiko kebakaran

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 26 April – Kira-kira 25 peratus premis di Melaka masih belum menerima sijil perakuan bomba (FC), sekali gus terdedah pada kemungkinan risiko kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka Abu Bakar Katain berkata, angka itu melibatkan 391 premis yang diwajibkan memiliki FC, antaranya kedai, pasar raya, kilang, gudang, perpustakaan, hotel dan hospital.

Katanya, bagi memastikan FC diterima kesemua premis di negeri ini, pihaknya akan menggiatkan usaha untuk mengadakan sesi taklimat dan kempen kesedaran kepada pemilik.

“Mengikut data kami, 391 premis itu membabitkan 371 premis swasta dan 20 premis kerajaan.

“25 peratus premis ini masih ada yang dalam proses pembaharuan atau memohon FC seperti yang ditetapkan dan kita harap semua premis yang termasuk dalam sembilan kategori diberikan FC seperti yang ditetapkan Akta Bomba.

“Selain mengadakan taklimat, kita juga akan mempergiatkan pemeriksaan di premis yang terlibat untuk memastikan premis-premis itu selamat daripada sebarang bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri dan Ops Raya Peringkat JBPM Negeri Melaka Tahun 2022 di Mydin MITC yang dirasmikan EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Zaidi Attan.

Dalam majlis itu, JBPM Melaka turut menyampaikan FC kepada beberapa premis termasuk hotel-hotel di negeri ini.

Selain itu, turut disampaikan sijil Teman Pili Bomba kepada individu yang bakal memainkan peranan penting dalam aspek penjagaan pili bomba di kawasan perumahan, kampung dan institusi tertentu.

Menurut Abu Bakar, setakat April tahun ini, seramai 96 individu telah menerima sijil Teman Pili Bomba di negeri ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 2,311 orang.

“Teman Pili Bomba ini peranannya ialah sebagai duta kecil bomba di komuniti mereka yang mana kita minta mereka menjaga pili bomba dan melaporkan kepada JBPM Melaka sekiranya berlaku kerosakan pili ditempat mereka.

“Mereka juga diberi latihan penjagaan pili bomba tetapi mereka tidak dibenar menggunakan pili tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1151
Kongsi :
Previous post Tapak pelupusan mercun di Sentul terbakar
Next post Bekas ADUN Melaka luka di tangan akibat terbabit pergaduhan
Ubah saiz-+=