Sorting by

×

23,448 bilik tampung pelancong sepanjang TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 1 Ogos – Sebanyak 23,448 bilik penginapan membabitkan pelbagai gred hotel dan inap desa seluruh Melaka mampu menampung keperluan pelancong sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu 510 membabitkan perkhidmatan perhotelan selain tambahan sembilan kluster inap desa.

Menurutnya, daripada jumlah dinyatakan 67 penyedia perkhidmatan itu dengan 7,966 bilik merupakan premis berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Kesemua penyedia perkhidmatan pelancongan ini sudah bersedia menerima pelancong untuk TMM2024 akan datang.

“Malah ketika ini ada beberapa lagi hotel sedang dalam pembinaan dan dijangka memulakan operasi Januari 2024. Apabila beroperasi kelak kemudahan ini dijangka menyediakan tambahan 1,000 lagi penginapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, pada sesi persidangan beliau memaklumkan pelbagai hotel di Melaka yang dikelaskan menerusi penggredan bintang dan orkid mampu memastikan kualiti perkhidmatan perhotelan negeri ini memenuhi keperluan pelancong.

Katanya, pengredan itu dinilai Motac menerusi beberapa kriteria lain seperti bilik, operasi kaunter, keselamatan bangunan dan sebagainya.

“Pengredan ini terlibat menerusi beberapa pihak selain Motac di mana ia perlu diperbaharui dalam tempoh tiga tahun sekali.

“Biarpun pengredan ini ditetapkan Motac namun Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Semakan Perhotelan mempunyai kuasa untuk menurunkan gred hotel ini sekiranya tidak mampu memenuhi kriteria untuk menawarkan perkhidmatan terbaik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan oleh Lim Ban Hong (BN-Klebang).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

798
Kongsi :
Previous post 386 pemohon layak terima bantuan IPR
Next post Sakit perut lepas makan ayam masak lemak
Ubah saiz-+=