Sorting by

×

230 individu ingkar PKP ditahan semalam – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Seramai 230 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 13 direman manakala 215 individu lagi dikenakan kompaun, kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“Polis telah membuat 65 sekatan jalan raya dan memeriksa 27,200 kenderaan, bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin dan menahan dua individu atas kesalahan imigresen, katanya dalam kenyataan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang masuk hari ke-63 hari ini.

Mengenai kuarantin wajib katanya, seramai 9,498 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, dan ditempatkan di 58 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 1,896 telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 31 negara, antaranya, Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, dan Iran.

Beliau berkata, polis juga telah memeriksa 1,445 individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah semalam dan sembilan daripadanya diambil tindakan, kerana gagal patuh prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 757 premis perniagaan, termasuk peruncit (562), pemborong (166) dan pengilang (29).

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,731 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,684 premis mematuhi SOP, 44 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP dan tiga premis pula diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” jelasnya.

Berhubung Ops Sanitasi Awam pula katanya, sebanyak 13 operasi meliputi 12 zon (termasuk lima zon kuning) di Sabah, Selangor, Pahang, Sarawak, Perlis, Kedah dan Kuala Lumpur dilakukan semalam.

— BERNAMA

Views:

346
Kongsi :
Previous post KKBBM hadkan pendaftaran pelajar baharu
Next post JBPM nasihatkan sesi persekolahan SJKC Malim dihentikan sementara
Ubah saiz-+=