23 OKTOBER: RAKYAT MELAKA DI SINGAPURA TERUJA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 25 September – Pembukaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) bermula bulan depan dijangka akan terus merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

Ia selepas syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot bakal mendarat di LTAM selama lima kali seminggu bermula 23 Oktober depan.

Pengumuman itu nyata menggembirakan anak Melaka yang bekerja di Singapura apabila perjalanan untuk balik ke kampung ketika cuti perayaan kini lebih mudah.

Menurut Milzirwan Nashriq Mohd Noor, 29, penerbangan itu antara yang dinanti-nantikan sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan panjang untuk pulang ke Melaka setiap kali cuti panjang.

“Sebelum ini, jika tidak menggunakan laluan darat, saya memilih penerbangan udara jika berlaku sebarang kecemasan di kampung kerana ia lebih cepat, namun saya terpaksa turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menaiki pengangkutan lain untuk balik ke Melaka.

“Tetapi apabila dibuka penerbangan terus dari Singapura ke Melaka ini, ia akan memudah dan mempercepatkan perjalanan saya pulang ke kampung halaman di Ayer Keroh,” katanya yang telah bekerja di Singapura sejak beberapa tahun lalu.

Tambahnya, selain memudahkan rakyat Malaysia di Singapura, penerbangan terus itu juga diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

“Tambahan pula, syarikat penerbangan yang bakal mendarat di Melaka merupakan syarikat penerbangan tambang rendah membuatkan lebih ramai pelancong dari Singapura dan China akan datang ke Melaka menikmati produk pelancongan di negeri ini.

“Sebagai rakyat negeri ini saya berbesar hati dan menyokong penuh hasrat ini untuk dipercepatkan kerana perkara ini sekali gus akan menyumbang dan memberi limpahan ekonomi dalam sektor pelancongan di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

938
Kongsi :
Previous post ‘BALAU’ HADIAHKAN EMAS KE-4 UNTUK MELAKA
Next post EKSPO TVET@KKDW BUKA PELUANG PENGAJIAN, PEKERJAAN
Ubah saiz-+=