Sorting by

×

225 PENIAGA TAWAR MENU RAHMAH DI BAZAR RAMADAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DUYONG 15 Mac – Seramai 225 peniaga secara sukarela mendaftar dan menawarkan menu bawah RM5 di tiga Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) sekitar Negeri Melaka.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata mengikut pecahan seramai 137 peniaga Menu Rahmah di BRR Alor Gajah; 46 peniaga di BRR Taman Seri Duyong dan 42 peniaga di BRR Jasin Bestari.

Katanya, lokasi BRR dipilih berdasarkan kepada tumpuan rakyat berbelanja dan lokaliti aktiviti ekonomi.

“Angka peniaga BRR di negeri ini meningkat berbanding 2024, ini membuktikan bahawa peniaga-peniaga menyambut baik inisiatif dan bekerjasama membantu mengurangkan kesan perubahan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.

“Pelbagai menu ditawarkan antaranya Nasi Tomato, Nasi Campur, Murtabak, Nasi Ayam, Mee Goreng dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan BRR Negeri Melaka 2025 di BRR Taman Seri Duyong, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Mengulas lanjut, Allex memaklumkan BRR adalah salah satu inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kesinambungan daripada Menu Rahmah di bawah Inisiatif Payung Rahmah.

“BRR bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan penyediaan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.

“Penglibatan peniaga bazar dengan berkonsepkan secara sukarela ini adalah melalui penyediaan makanan atau juadah berbuka puasa yang ditawarkan di Bazar Ramadan dengan kadar rendah,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post HANYA 30 PERATUS RAKYAT MELAKA SELESA BERBELANJA CARA DIGITAL
Next post TANDA KASIH DAN SAYANG MPHTJ