![Img 20250215 Wa0030](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250215-WA0030.jpg?v=1739599017)
220 ANAK-ANAK PARLIMEN TANGGA BATU LEBIH BERSEMANGAT KEMBALI KE SEKOLAH
PAYA RUMPUT 15 Februari – Seramai 220 anak-anak yang masih bersekolah di dalam kawasan Parlimen Tangga Batu, telah terima sumbangan berbentuk wang tunai serta alat tulis sempena Program Kembali Ke Sekolah.
Exco kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
“Alhamdulillah, kita menyaksikan penglibatan ramai penduduk sekitar di dalam kawasan Parlimen Tangga Batu dan setiap daripada mereka belum pernah menerima sumbangan melalui Program Kembali Ke Sekolah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada setiap pemimpin kawasan di dalam kawasan Parlimen Tangga Batu kerana berjaya mengumpulkan penduduk-penduduk di sekitar kawasan Parlimen ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Tangga Batu di Dewan MBMB Taman Paya Rumput Perdana, di sini, hari ini.
Hadir sama Adun Pantai Kundor, merangkap Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.
Menurut Rais, menerusi penganjuran program sebegini, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan beban ibu bapa untuk membeli pakaian atau barangan persekolahan.
“Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini adalah hasil kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Japerun di dalam Parlimen Tangga Batu.
“Untuk pengetahuan semua, ini adalah penganjuran kali ketiga bagi siri Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Tangga Batu, jadi besar harapan kami untuk memastikan usaha program ini dapat ringankan beban golongan ibu bapa,” katanya.
Sementara itu, pada program tersebut, turut diadakan Program Gunting Rambut Secara Percuma yang dikhaskan kepada setiap penerima sumbangan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.