22 penghuni RSKC ceria terima MyKad baharu

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PAYA RUMPUT 15 Oktober – Sikap penuh tanggungjawab warga emas, menjaga, menyimpan dan menghargai kad pengenalan (MyKad) perlu dicontohi generasi muda.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Ruslin Jusoh berkata, sikap cakna itu membantu mengurangkan kes kehilangan MyKad dalam kalangan warga emas.

“Warga emas cermat menjaga dokumen pengenalan diri mereka dan ini amat dipuji, justeru kami harap masyarakat dapat mencontohi sikap seperti ini.

“Jika berdasarkan semakan rekod pula kes hilang kad pengenalan membabitkan golongan berusia ini tidak tinggi,” katanya selepas menyerahkan kad pengenalan baharu kepada 22 warga emas dari Rumah Seri Kenangan Cheng (RSKC), di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman.

Ruslin berkata, menerusi program dianjurkan dengan kerjasama JKM bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) memudahkan proses menggantikan kad pengenalan baharu warga emas tanpa perlu hadir ke pejabat JPN.

Sementara itu, penghuni RSKC Abd Kadir Abdullah, 80, berkata, setakat ini dia tidak pernah kehilangan atau keciciran dokumen pengenalan dirinya itu.

“Sejak dulu sehingga sekarang saya tidak pernah kehilangan kad pengenalan kerana begitu mengambil berat dan menjaganya sebaik mungkin.

“Memang saya jaga dengan rapi termasuk simpan dalam almari yang tinggi dan meminta keluarga memegangnya kerana takut hilang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1700
Kongsi :
Previous post Lelaki berkempen PRU15, halang tugas polis ditahan
Next post UMNO Alor Gajah sepakat kekalkan Ismail Sabri sebagai PM ke-10
Ubah saiz-+=