22 anggota penguatkuasa MPJ diwarta Warden Trafik
AYER KEROH 7 Jun – Seramai 22 anggota Penguatkuasa Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) telah diwartakan sebagai anggota Warden Trafik.
Yang Dipertua MPJ, Mohd Shaiful Hizam Johan berkata, kesemua anggota penguatkuasa terbabit telah menghadiri Kursus Warden Trafik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka, 28 hingga 30 Mei lalu.
Katanya, kursus terbabit memberi pendedahan dan pemahaman kepada anggota penguatkuasa mengenai tugas dan tanggungjawab sebagai anggota Warden Trafik.
“22 anggota penguatkuasa Warden Trafik ini juga diajar mengenai undang-undang yang boleh diguna pakai dalam menjalankan tugas sebagai Warden Trafik semasa di lapangan.
“Fungsi Warden Trafik ini adalah untuk menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 3(4B) Akta 333, Akta Pengangkutan Jalan 1987: 20 Sekyen dibawah Akta 333, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lapan kaedah lalulintas jalan 1959 – LN 166/1959,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, kursus berkenaan telah dirasmikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan (Unit Kerajaan Tempatan) Mahathir Mustafa.
Mengulas lanjut, Mohd Shaiful berkata kursus untuk pewartaan Warden Trafik itu telah dianjurkan oleh Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) dengan kerjasama Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasa MPJ serta PBT lain.
“Antara tugasan Warden Trafik ini juga untuk melaksanakan penguatkuasaan halangan disebabkan kenderaan di bahu jalan, selain memindahkan kenderaan yang rosak dan yang ditinggalkan serta mengambil tindakan ke atas kesalahan tempat letak kenderaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.