21 individu dakwa ditipu pakej umrah
AYER KEROH 1 April – Dua kali bertukar tarikh penerbangan membuatkan sekumpulan 21 individu bakal jemaah umrah mendakwa kerugian lebih RM136,000 selepas gagal menunaikan umrah.
Wakil kumpulan, Mastura A. Ghani, 59 berkata, dia bersama lima ahli keluarga telah membuat pembayaran RM31,250 untuk menunaikan umrah yang dijadualkan pada 13 dan 23 Februari lalu.
Mastura yang juga penjawat awam berkata pada awalnya dia tidak menyangka akan ditipu kerana pernah menunaikan umrah pada Ogos tahun lalu menggunakan agensi yang sama.
“Sebelum ini saya pernah menunaikan umrah dengan syarikat sama, juga sekitar Ogos tahun lepas tapi tak sangka kali ini banyak pula alasan diberikan pengurusan syarikat tersebut.
“Setiap individu membeli pakej umrah yang berharga kira-kira RM6,550 selepas syarikat terbabit menawarkan pakej berkenaan di laman sosial,” katanya pada sidang media di Pejabat Japerun Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kerk Chee Yee.
Tambah Mastura, syarikat agensi itu menawarkan harga rendah kepada semua ‘alumni’ jemaah yang pernah bersama-sama mengikuti ibadah terbabit sebelum ini.
Jelasnya, kerana harga ditawarkan berpatutan, dia bersama dan empat ahli keluarga lain bersetuju untuk mengambil pakej tersebut dan membuat bayaran secara ansuran dengan bayaran terakhir pada 15 Disember lepas.
“Syarikat tersebut juga mengadakan dua kali kursus umrah pada 17 Disember dan 14 Januari manakala surat tawaran dikeluarkan pada 9 Disember namun pada 11 Februari iaitu dua hari sebelum ke Tanah Suci, pengurusan syarikat memaklumkan penerbangan ditunda kepada 20 Februari atas alasan penerbangan penuh.
“Selepas itu, kami sekali lagi dipanggil ke pejabat agensi itu dan dimaklumkan syarikat gagal membuat tempahan tiket kapal terbang dan mereka memohon untuk menunda lagi sekali penerbangan.
“Bagaimanapun saya tak dapat terima alasan diberikan pengurusan syarikat terbabit dan memohon agar wang dipulangkan kembali kepada kami dan laporan polis dibuat pada 6 Mac manakala Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pada 8 Mac,” katanya.
Dalam pada itu, Kerk turut menasihati agar masyarakat dapat mengambil pengajaran daripada kes berkenaan, selain berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas kepada mereka yang membuat penipuan.
Tambahnya, orang ramai perlu berhati-hati dalam memilih sebarang pakej sama ada pelancongan atau umrah untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan seterusnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.