Sorting by

×

21 hari seperti 21 tahun

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

Melaka 9 Mac. – Tempoh 21 hari terpisah daripada keluarga yang amat menyeksakan dua nelayan yang hanyut sebelum terdampar di Pulau Rupat, Indonesia sejak 16 Februari lalu, berakhir esok.

Selepas menjalani kuarantin 10 hari di sebuah hotel di Johor Bahru sejak 28 Februari lalu, Faizal Jailani, 38, dan Md Roslan Kadir, 43, akan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini.

Ia bakal mengubati rindu Faizal terhadap isteri, Khatijah Khamis, 35, dan dua anak, Nur Batrisya, 9, dan Mohd Afiq Ikmal, 12.

Bagi Md Roslan, kerinduannya terhadap dua anak lelaki berusia 13 dan 15 tahun, bakal terubat apabila kembali ke Kampung Pantai Kundor, di sini.

FAIZAL…terpisah 21 hari dari isteri dan anak.

Faizal berkata, sepanjang dikuarantin, mereka tidak dibenarkan keluar dari bilik dan sekadar menikmati makanan dan minuman disediakan pihak pengurusan hotel.

“Tempoh 21 hari bak 21 tahun dan untuk mengubati rindu terhadap isteri dan anak, saya minta kawan di Johor Bahru membelikan telefon bimbit dan kad prabayar.

“Alhamdulillah, setiap hari saya berbual dengan isteri dan anak yang amat saya rindui selepas terlepas daripada maut ketika karam di perairan Pulau Rupat pada 18 Februari lalu,” katanya ketika dihubungi di hotel berkenaan hari ini.

Menyorot kembali kejadian hampir meragut nyawanya dan Md Roslan, Faizal berkata, selesai menarik rawai di perairan Melaka pada jam 3 petang, 16 Februari lalu, mereka bergerak pulang ke pangkalan nelayan Pantai Puteri tetapi kehabisan petrol sebelum perahu mereka dihanyutkan ke perairan Indonesia.

Akibatnya, mereka hanyut ke perairan Pulau Rupat sebelum karam berhampiran pantai Lechah pada jam 8 pagi, 18 Februari lalu tetapi mereka berjaya berenang ke pantai.

Faizal berkata, mereka bernasib baik kerana penduduk Lechah memberi makan dan minum sebelum menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa Indonesia.

“Kami amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan kerana membiayai kos membawa kami pulang ke Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut di Johor Bahru pada 28 Februari lalu,” katanya.

Turut dibawa pulang ialah Muhammad Faizul Hakimie, 21, dari Batu Berendam, dekat sini yang ditahan kerana tinggal melebihi tempoh dan Ahmad Radzi Djonaidi, 11, yang dibawa bapanya ke rumah neneknya di Tanjung Balai, Riau pada Februari 2020 tetapi tidak sempat dibawa pulang ke Tampoi, Johor Bahru berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.

Mereka dibawa pulang dari Batam, Indonesia dengan kos RM20,000, selain kos kuarantin yang dibiayai sepenuhnya oleh Nor Azman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post ‘Saya seperti mati hidup semula’
Next post MUFC tak rela hilang mata di Petaling Jaya
Ubah saiz-+=