Sorting by

×

2025 MELAKA BAKAL ‘MENDUNIA’

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 1 Januari – Kejayaan dan kemeriahan kempen Tahun Melawat Melaka akan diteruskan pada 2025, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, ia selepas negeri ini dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia Tahun 2025 (WTC2025), disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata, bergerak ke hadapan, Melaka akan terus ‘mendunia’, dengan menerima delegasi dari 159 buah negara serta ahli-ahli United Nations World Tourism Organization (UNWTO) sempena WTD2025 dan WTC2025 yang dijangka berlangsung pada September depan.

“Selayaknya, saya mengucapkan setinggitinggi terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di atas kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi tuan rumah sempena WTD 2025 dan WTC 2025 ini.

“Semoga sambutan ini menggamit mata dan telinga pelancong untuk terus memeriahkan kawasan pelancongan Melaka.

“Jika dahulu, kita bergiat aktif mempromosikan Melaka sehingga ke luar negara, tetapi sekarang… sebagai kota pelancongan terhebat, kita membawa dunia ke negeri Melaka pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) di Persiaran Jalan Merdeka, di sini, malam tadi.

Sambutan itu telah dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam ucapannya di hadapan lebih 50,000 pengunjung, Ab Rauf turut mengumumkan Tahun Melawat Melaka akan diteruskan sehingga tahun 2026, sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia yang dianjurkan pada 2026.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post MELAKA RAIH PELBAGAI PENCAPAIAN 2024
Next post MELAKA SEDIA JADI TUAN RUMAH TERBAIK WTD, WTC 2025
Ubah saiz-+=