
2025 DAN 2026, PELANCONGAN MELAKA ‘TIDAK BEREHAT’
SERI NEGERI 16 April – Sektor pelancongan Melaka kembali meriah tahun lalu susulan kejayaan penganjuran Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 yang berjaya menggamit lebih 15 juta pengunjung dan pelancong.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, susulan kejayaan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk melanjutkan TMM sehingga tahun 2026 yang bakal berlangsungnya Tahun Melawat Malaysia (VM).
Jelas beliau, sektor pelancongan di negeri ini tidak akan ‘berehat’ pada tahun ini memandangkan Melaka akan terus ‘mendunia’ apabila dipilih mewakili Malaysia sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada September depan.
Menurut beliau, tidak tidak terhenti di situ, malah Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju memilih Melaka sebagai lokasi pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).
Ujar beliau, semua itu merupakan satu pengiktirafan cukup besar yang diterima Kerajaan Negeri dalam usaha untuk terus memperkasa sektor pelancongan yang mana limpahan manfaatnya bukan sahaja dirasai negeri bahkan peniaga kecil dan rakyat.
“Orang Melaka perlu tahu bahawa pemilihan Melaka dalam banyak acara-acara besar yang penuh gilang-gemilang ini menjadikan Melaka sebagai negeri tumpuan bukan sahaja di negara ini, tetapi seantero dunia.
“Semua akan datang ke Melaka, jadi siapa yang akan menerima manfaat? Sudah tentulah pengusaha hotel, inap desa, pengusaha produk pelancongan, peniaga cenderamata dan makanan serta rakyat Melaka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas bersama Melaka Hari Ini sempena ulang tahun kedua pentadbiran Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Ketua Menteri, di sini.
**Ikuti wawancara penuh bersama Ketua Menteri yang disiarkan dalam tiga bahagian di semua platform Melaka Hari Ini dan Melaka TV.
Pautan: https://www.facebook.com/share/v/16Gb1yQSmg/
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.