Sorting by

×

2024, MELAKA TAK PERNAH SUNYI

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 1 Januari – Sepanjang 365 hari tahun 2024, Melaka membuktikan negeri pelancongan ini tidak pernah sunyi mahupun sepi dengan pelbagai acara dan program saban minggu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran pelbagai program dan tawaran produk pelancongan baharu membuatkan negeri ini terus terkehadapan dalam sektor pelancongan apabila menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong dari dalam serta luar negara.

Malah, ujar beliau, fenomena itu turut dicetuskan ‘tagline’ Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Mana Lagi, Melaka Ler serta lagu tema, Senandung Anak Melaka menjadi laungan dan siulan ramai.

“Senandung Anak Melaka dan tagline keramat MANAAAAAAA LAGI, MELAKA LER….. telah menjadi satu fenomena yang meletakkan Melaka bumi bertuah sebagai tumpuan destinasi pelancongan utama di Malaysia.

“Sepanjang tahun ini, lebih 202 acara pelancongan telah berjaya dianjurkan baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa merangkumi aspek kebudayaan, seni warisan, sukan dan agama.

“Paling penting, Melaka adalah satu-satunya negeri yang berjaya menawarkan produk pelancongan sehingga jam 2 pagi dengan kadar tiket yang jauh lebih rendah, di samping promosi Set Kombo Makanan RM10 yang disokong pemain-pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) di Persiaran Jalan Merdeka, di sini, malam tadi.

Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

226
Kongsi :
Previous post 59 KAKITANGAN PANORAMA SDN BHD DIBERI PERHATIAN SEWAJARNYA
Next post MELAKA CATAT PENDAPATAN RM12.68 BILION HINGGA DISEMBER 2024
Ubah saiz-+=