Sorting by

×

‘2022 tutup buku’: Imbasan Januari 2022

Masa Membaca:3 Minit, 17 Saat

2022 hampir sahaja melabuhkan tirai dan 2023 bakal membuka satu lembaran baharu bagi seluruh rakyat Malaysia.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, namun setiap yang berlaku pastinya meninggalkan 1,001 kenangan kepada kita semua.

Jadi, ayuh kita lihat antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang Januari 2022…

 

1 Januari 2022

Melaka cipta rekod kuih bakar terpanjang di Malaysia

ALOR GAJAH – Melaka mencatat nama dalam Malaysia Book of Record apabila menghasilkan kuih bakar terpanjang di Malaysia menerusi Melaka Food Fiesta 2022.
Program anjuran Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) itu berjaya menghasilkan susunan sebanyak 1,800 biji kuih bakar sepanjang 207.7 meter.

4 Januari 2022

Banjir: RTB jangka pendek Melaka diluluskan RM8 juta – PM

GANGSA – Kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM8 juta bagi pelan jangka pendek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Melaka.
Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek-projek RTB itu akan mula dilaksanakan segera selepas banjir surut di Melaka.

7 Januari 2022

Zoo Melaka perintis pembiakan Harimau Malaya

AYER KEROH – Zoo Melaka dipilih menjadi zoo perintis menerusi Program Pembiakan Khas atau dikenali sebagai ‘ex-situ’ dalam usaha menyelamatkan populasi Harimau Malaya yang terancam.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, bilangan Harimau Malaya di hutan pada masa kini amat membimbangkan apabila populasinya dianggarkan kurang daripada 200 ekor.

10 Januari 2022

2022 tahun kecekapan pelaksanaan – KM

SERI NEGERI – Tahun 2022 ditetapkan sebagai tahun kecekapan pelaksanaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata, oleh sebab itu tema amanat tahun baharu 2022 mengangkap tema ‘Kecekapan Pelaksanaan Demi Kemakmuran Negeri Melaka’.

15 Januari 2022

Rumah Transit akan dibina setiap DUN – KM

LENDU – Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Rumah Transit di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata sebanyak dua unit rumah akan disediakan di setiap DUN bagi membantu mangsa yang ditimpa bencana atau keganasan rumah tangga.

15 Januari 2022

Leypark Station tarikan baharu di Ayer Keroh

AYER KEROH – Suasana sekitar Dataran Sejarah Ayer Keroh yang sebelum ini sunyi sepi kini berubah wajah dengan pembukaan pasar Malam Leypark Station di situ.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, Leypark Station dibangunkan dengan konsep pasar malam seakan Jonker Walk yang popular di Bandar Hilir.

21 Januari 2022

Melaka garis lima keutamaan, 18 ‘wishlist’ pacu pembangunan, ekonomi rakyat

KUALA LUMPUR – Kerajaan Melaka menggariskan lima perkara keutamaan negeri itu untuk dinilai dan seterusnya diluluskan kerajaan persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, lima perkara itu ialah Pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ), Memperkasa Sektor Pelancongan serta Penjajaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Selain lima projek keutamaan, kerajaan Melaka turut menyenaraikan 18 ‘Wishlist’ (senarai hajat) di bawah ‘Rolling Plan’ ke-3 (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

22 Januari 2022

DUN Johor bubar

JOHOR BAHRU – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut kenyataan menerusi laman Facebook The Royal Johor, pembubaran DUN Johor selaras Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

26 Januari 2022

Ibadah Umrah dibenar semula mulai 8 Feb

KUALA LUMPUR – Kabinet hari ini memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini, kata mantan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu yang berkuat kuasa 8 Jan lepas susulan penularan jangkitan varian Omicron COVID-19.

28 Januari 2022

Tun Mohd Ali dianugerah pangkat kehormat Ketua Pesuruhjaya Bomba

AYER KEROH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menganugerahkan pangkat kehormat Ketua Pesuruhjaya Bomba kepada        Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Menerusi hantaran di Facebook Rasmi Istana Melaka, Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat itu disempurnakan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, di Seri Negeri, di sini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1872
Kongsi :
Previous post Siasat dakwaan kebocoran maklumat 13 juta rakyat Malaysia
Next post Pengembara dari China perlu lalui saringan demam – Dr Zaliha
Ubah saiz-+=