Sorting by

×

202 ACARA ‘BESAR’ WARNAI MELAKA SEPANJANG 2024 – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 1 Januari – Sektor pelancongan Melaka telah capai pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2024 berdasarkan penganjuran sebanyak 202 acara berskala besar.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata kesemua 202 acara tersebut mencerminkan kekayaan warisan, budaya dan kreativiti negeri ini.

“Antara acara utama yang mendapat sambutan hangat termasuklah Pameran Hang Tuah, Pameran Aset Yang di-Pertuan Agong, Festival Antarabangsa Sungai Melaka serta Himpunan RXZ Biker yang berjaya menarik pelancong domestik serta antarabangsa.

“Acara-acara utama ini tidak hanya tertumpu di daerah Melaka Tengah atau kawasan warisan seperti Zon Bebas Kenderaan, tetapi turut melibatkan daerah Alor Gajah dan Jasin melalui program seperti Pesta Tanjung Bidara, D’Bendang Sungai Rambai dan Jamboiree ChinChin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 & Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) di Jalan Merdeka, di sini, semalam.

Majlis gilang-gemilang tersebut menyaksikan ia dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama isteri kepada Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco, Timbalan Exco serta wakil-wakil jabatan.

Jelasnya, kejayaan sektor pelancongan Melaka sepanjang tahun 2024 bukan sahaja beri nilai tambah kepada pembangunan negeri, namun turut memberi limpahan kepada rakyat negeri ini.

“Program Tahun Melawat Melaka ini berjaya membawa limpahan pendapatan yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, daripada penarik beca, buskers dan peniaga kecil, hingga pemilik restoran, pengusaha inap desa, hotel dan sebagainya.

“Disebabkan itu, momentum semangat kejayaan program pelancongan ini disambung sehingga Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Sementara itu, lebih 50,000 pengunjung membanjiri sambutan majlis tersebut dan lebih meriah, ia turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan keseniaan libatkan artis seperti Amy Search, Man Kidal, Asmidar, Aishah Retno dan Yasser Fikri

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

256
Kongsi :
Previous post MELAKA AKAN UMUM ‘KHABAR GEMBIRA’ SEMPENA 20 FEBRUARI 2025
Next post BAPA TUMPANG TUAH ANAK 14 TAHUN MENANG AXIA