20,000 nelayan belum mencarum PERKESO – LKIM
TANJUNG BIDARA, 4 Jan – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengesan 20,000 nelayan yang tidak menikmati Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) masih belum mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan terdedah kepada risiko tidak dilindungi insurans jika ditimpa kemalangan.
Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latiff berkata, mereka tidak seharusnya menjadikan alasan tidak menikmati ESHN sebagai faktor tidak mencarum dalam SKSPS berbanding nelayan yang menikmatinya yang mencarum sebanyak RM157 setahun melalui potongan ESHN.
Beliau berkata, nelayan terbabit diminta mendapatkan bantuan teknikal daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) masing-masing untuk membuat caruman berkenaan secara sukarela demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.
“Nelayan boleh hadir di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk membuat caruman kendiri bagi memastikan mereka dilindungi insurans jika terbabit dalam kemalangan, terutama ketika menangkap ikan.
“Setakat ini sudah ada 98,000 nelayan yang menikmati ESHN yang membuat caruman RM157 setahun dalam SKSPS melalui potongan yang kami buat daripada ESHN mereka,” katanya selepas menyerahkan replika cek RM102,500 skim Takaful Ikhlas Perlindungan Insurans Berkelompok Nelayan kepada balu nelayan, Juhari Ali, Aminah Abdul Manaf, 70, di kediaman wanita itu di Kampung Hailam, Pengkalan Balak, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah LKIM Melaka Rosli Mustapa dan Timbalannya, Zuly Syahira Mohd Surtar.
Juhari hilang ketika menangkap ikan bersendirian di laut berhampiran pantai Padang Kemunting, di sini kira-kira jam 10 malam, 9 Ogos 2015.
Pada 14 Disember 2018 Mahkamah Tinggi Temerloh mengeluarkan perintah Juhari dianggap sudah meninggal dunia pada tarikh dia hilang.
Othman berkata, insurans berkelompok yang diwujudkan pada 2012 itu sudah dimansuhkan untuk digantikan dengan SKSPS mulai 15 Ogos 2020.
Jika mengikut skim insurans berkelompok nelayan perlu membayar premium RM100 setahun melalui potongan ESHN, di bawah SKSPS mereka perlu mencarum RM157 setahun juga melalui ESHN, katanya.
Aminah berkata, beliau amat bersyukur menerima bayaran berkenaan dan bercadang memanfaatkannya untuk membuat badal haji untuk suaminya, selain beberapa perkara lain untuk kebaikan keluarga.
“Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada LKIM kerana mengambil berat kebajikan kami sekeluarga dan saya berdoa agar roh suami sentiasa dalam rahmat dan rahim Allah,” katanya.