2,000 PARKIR UNTUK KESELESAAN PENGUNJUNG PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA 2024
TANJUNG BIDARA 10 September – Kemudahan kawasan tempat letak kenderaan disediakan bagi memudahkan pengunjung yang hadir bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.
Setiausaha Japerun Tanjung Bidara, Ahmad Warid Ismail berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyediakan tempat letak kenderaan di dalam kawasan Skuadron Ke-12 Rejimen Askar Jurutera Diraja.
“Bagi memudahkan pengunjung yang datang kita menyediakan kawasan parkir khas untuk mereka. Kita mendapat kebenaran daripada pihak ATM menjadikan tempat lapang di dalam kawasannya sebagai tempat parkir.
“Jadi pengunjung tidak perlu risau berdepan masalah parkir kerana kita anggarkan di situ dapat menempatkan kira-kira 2,000 kenderaan dalam satu masa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tiga hari berlangsungnya Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, penguatkuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan ditempatkan di sekitar tapak pesta.
“Dengan adanya penugasan penguatkuasa ini dengan dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kita jangka tiada kesesakan luar jangka akan berlaku.
“Kita yakin dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan dan juga bersempena cuti sekolah ramai ibu bapa akan membawa anak-anak mereka ke Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.