
2,000 ORANG DIJANGKA MERIAHKAN MAJLIS IFTAR SANTAI BERSAMA KETUA MENTERI
AYER KEROH 12 Mac – Jumlah pengunjung ke Majlis Iftar Santai Bersama Ketua Menteri di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, 15 Mac ini dijangka melebihi 2,000 orang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, majlis berbuka puasa itu adalah program tahunan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dipilih sebagai lokasi penganjuran pada kali ini.
“Saya ingin menjemput kepada semua warga bandaraya untuk bersama-sama berbuka puasa santai bersama Ketua Menteri pada Sabtu ini dan dikesempatan itu juga beliau akan menyantuni masyarakat.
“Ini adalah inisiatif Yang Amat Berhormat sendiri, sebelum ini beliau berbuka puasa di Dataran Bandaraya MBMB tetapi pada tahun ini lokasinya berubah.
“Kami di pihak MBMB menyediakan makanan berbuka untuk 2,000 orang dan sekiranya pengunjung ingin mengadakan konsep ‘pot luck’ juga amat dialu-alukan,” katanya.
Menurut Shadan, mereka yang ingin turut serta boleh hadir pada jam kira-kira 6.30 petang untuk mengambil makanan serta tempat duduk.
“Kemudahan lain seperti tandas dan surau untuk menunaikan solat Maghrib juga disediakan, jadi kepada yang berkesempatan dan ingin merasai suasana berbuka puasa ramai-ramai sambil merapatkan silaturahim dijemput untuk hadir,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.