200 terima bantuan program No Hungry Child Campaign

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

Oleh Farah Suhaidah Othman dan Nur Iliyana Zainis Zainal

UJONG PASIR 14 Sept – “Terharu dan bersyukur apabila di saat sukar ada pihak tampil menghulurkan bantuan.’

Begitu luahan suri rumah, Nur Syakilla Shamsudin, 29, selepas menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Kebajikan Budimas di Perkampungan Portugis, di sini, hari ini.

Nur Syakilla antara 200 penerima bantuan menerusi Program No Hungry Child Campaign yang turut dianjurkan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Perkampungan Portugis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Banda Hilir.

NUR Syakilla bersama anaknnya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, meskipun berdepan kesempitan hidup dia tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

“Anak saya yang bongsu mengalami masalah jantung dan terpaksa berulang-alik ke hospital sehingga kini untuk mendapatkan rawatan.

“Dengan bantuan yang ada dapat mengurangkan sedikit beban kerana saya juga perlu memantau pemakanan anak saya.

“Untuk kami tidak kisah sangat, tetapi kalau susu anak memang pihak hospital ada bagi namun terpaksa membeli sendiri sekotak kira-kira RM27 hingga RM30 sekotak,” katanya.

JAMES.

Sementara itu, James Savage, 67, yang bekerja sebagai nelayan lebih 10 tahun turut melahirkan perasaan sama apabila menerima bantuan makanan asas.

“Musim COVID-19, pendapatan pun tidak menentu, jadi bolehlah bantu sedikit sebanyak untuk kami meneruskan kelangsungan hidup.

“Sejak diserang angin ahmar, saya sudah tidak boleh ke laut lagi dan berharap lebih banyak bantuan diberikan untuk meringankan beban keluarga,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Budimas, Anne Rajasaikaran berkata, menerusi kempen berkenaan pihaknya menumpukan bantuan terhadap keluarga yang kurang berkemampuan.

Katanya, bantuan diberikan berdasarkan barangan diperlukan termasuk susu dan lampin pakai buang keluarga masing-masing yang disenaraikan JAPERUN dan JPKK.

“Bukan sahaja mereka yang terjejas pendapatan, malah pihak yayasan juga membantu keluarga yang mengalami tekanan akibat pandemik,” katanya.

Bagi Penyelaras JAPERUN Bandar Hilir, Seah Lee Kah Sean berkata, pihaknya akan mengenal pasti lebih ramai keluarga yang memerlukan bantuan di saat kesukaran ini.

“Kita akan kenal pasti dalam 300 hingga 400 lagi keluarga di kawasan Bandar Hilir untuk disalurkan bantuan sedemikian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

889
Kongsi :
Previous post Teratak pusaka hangus terbakar diganti baharu
Next post Kerajaan perkemas SOP, daripada 181 kepada 10 sahaja – Hishammuddin
Ubah saiz-+=