200 penganut Kristian terima sumbangan Krismas

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 18 Disember – Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM40,000 sumbangan untuk disalurkan kepada seramai 200 penganut beragama Kristian meraikan sambutan Krismas tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu sekali gus memanfaatkan golongan memerlukan di negeri ini untuk meraikan perayaan itu dalam suasana yang lebih ceria.

“Hari ini kita berikan sumbangan kepada penganut agama Kristian yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Cina, India dan Serani.

“Biarpun jumlahnya tidak banyak, namun saya lihat mereka sangat gembira kerana sumbangan itu dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan sempena perayaan itu.

“Bagi jumlah pecahan penerima seramai 95 adalah dari daerah Melaka Tengah, 63 orang di daerah Alor Gajah dan 42 orang di daerah Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Penyampaian Sumbangan Perayaan Krismas Negeri Melaka Tahun 2023 di Dewan Seri Bendahara di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, V.P Shanmugam dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf ketika berucap pada program itu berkata selain menyampaikan sumbangan, ia juga memberi peluang kepada kepimpinan Kerajaan Negeri untuk bertemu rakyat pelbagai bangsa.

“Saya dapat bersua dengan kepelbagaian kaum di dalam dewan ini hari ini untuk meraikan perayaan Krismas tidak lama lagi.

“Peluang ini amat bermakna walaupun dalam tempoh yang singkat, sumbangan ini juga sebagai komitmen dan pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada penganut beragama Kristian,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

893
Kongsi :
Previous post TMM2024: Papan tanda, jalan raya dibaiki
Next post Pegawai kanan polis didakwa bunuh pelajar sekolah
Ubah saiz-+=