200 ADUAN MASALAH LIPUTAN INTERNET DI MELAKA SELESAI – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PAYA RUMPUT 27 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Melaka berjaya menyelesaikan 200 daripada keseluruhan 237 aduan berkaitan isu liputan internet berkelajuan tinggi diterima agensi itu sejak Januari lalu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, 33 aduan sedang disiasat dan empat lagi dalam tindakan bagi mendapatkan maklumat terperinci.

“Berdasarkan aduan ini kita melaksanakan Siri Ujian Perkhidmatan Selular untuk menyiasat dan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk berkaitan telekomunikasi di negeri ini.

“Susulan aduan diterima SKMM sudah memberikan maklum balas dan melakukan perancangan untuk membina menara telekomunikasi di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Siri Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Melaka bagi daerah Melaka Tengah di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah SKMM Melaka, Syed Isa Alsagoff; Pengarah Jabatan Penerangan negeri (JaPen), Ab Rasil Hajatil dan Ketua Pegawai Operasi Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Mohd Jailani Deraman

Siri ketiga ini melibatkan perjalanan sejauh 62 kilometer sekitar Durian Tunggal, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Jalan Penghulu Abbas, Dataran Pahlawan, Kota Laksamana, Klebang, Pulau Gadong dan Paya Rumput.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam meminta pengguna di negeri ini yang berdepan masalah liputan supaya membuat aduan secara terus kepada SKMM menggunakan platform dalam talian disediakan.

“Boleh juga WhatsApp terus kepada saya sendiri dan saya akan panjangkan aduan ini kepada pihak SKMM untuk tindakan seterusnya.

“Paling penting pengadu perlu jujur dan jangan segan untuk sertakan nama dan nombor telefon, maklumat ini penting bagi tindakan segera SKMM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post SUSPEK KEEMPAT KES TETAK, BUNUH DIREMAN TUJUH HARI
Next post POLIS SIASAT PENEMUAN MAYAT TERBAKAR BERHAMPIRAN STESEN KTM SERDANG
Ubah saiz-+=