20 tukun mesra alam dilabuhkan di Perairan Telok Mas

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TELOK MAS 22 Ogos – Sebanyak 20 tukun inovasi dengan ciri mesra alam dilabuhkan di perairan Telok Mas sebagai usaha meningkatkan hasil tangkapan nelayan dan memulihara ekosistem marin.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inovasi dihasilkan SIRIM Berhad menggunakan bahan campuran seramik dan konkrit merupakan program Inisiatif Inovasi Sosial (MyIS Komuniti) membawa manfaat kepada golongan nelayan di perairan itu.

Menurutnya, Melaka menjadi lokasi pertama dipilih tahun ini bagi pelaksanaan dua inisiatif membabitkan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Menerusi program diadakan kali ini sebanyak RM160,500 diperuntukkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) bagi merealisasikan pembangunan tukun inovasi.

“Sifat bahan seramik yang ‘inert’ atau neutral tidak mudah bertindak balas dengan persekitaran yang tidak akan menjejaskan ekosistem marin, malahan dapat membantu menarik pengumpulan dan pembiakan ikan di persekitaran.

“Mewakili Kerajaan Negeri saya mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam inisiatif ini dalam membantu meningkatkan populasi hidupan laut yang membawa manfaat kepada golongan nelayan,” katanya.

Whatsapp Image 2024 08 22 At 2.21.40 Pm
20 tukun inovasi bersifat mesra alam dilabuhkan bagi meningkatkan populasi hidupan laut di perairan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Tukun Inovasi: Bahan Mesra Alam, Program Inovasi Sosial (MyIS) diadakan di Jeti Pengkalan Nelayan Umbai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Teknologi SIRIM, Dr. Muhammad Izzal Ismail: Naib Presiden YIM, Nur Fadzlina Mahamad Radzi serta tetamu lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha SIRIM yang melaksanakan pelbagai inovasi membawa manfaat kepada rakyat.

“Kita berharap semoga usaha seperti ini berterusan dan dapat diperluaskan ke beberapa lagi perairan Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post 59 projek pemuliharaan, penyelenggaran bangunan warisan seluruh negara selesai
Next post KKR segerakan pembaikan jalan rosak di 64 lokasi sekitar Melaka
Ubah saiz-+=