20 replika artifak Rasulullah dipamer pada IITTE 2024
AYER KEROH 1 Ogos – Dalam usaha dakwahnya, penganjur Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa 2024 (IITTE), GISB Holdings (GISBH) mempelawa orang ramai untuk melihat secara dekat 20 replika berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW.
Replika berkenaan adalah antara tarikan utama pameran ‘Menghayati Sejarah Kehidupan Rasulullah Untuk Penghayatan Kehidupan Kini’ dianjurkan bersempena IITTE 2024 bermula semalam hingga Ahad dan dibuka secara percuma kepada pengunjung.
Ketua pempamer, Zar Nukman Sahrin berkata, pameran berkonsepkan gambaran dan sejarah interaktif itu mampu membuka minda pengunjung untuk menghayati sejarah Nabi Muhammad SAW bermula dari kelahiran, kewafatan serta zaman para sahabat baginda.
Katanya, kesemua replika dipamerkan adalah hasil kerjasama baik antara GISBH dengan pemilik Muzium Dar Al Madinah, Arab Saudi, Dr. Syed Abdulaziz Abdulrahman Kaki.
“Pengunjung berpeluang menyelusuri sejarah dan mengenali keperibadian baginda, sejarah pembentukan Madinah sejak dulu hingga sekarang. Artifak ini dipamerkan di 11 bilik berbeza. Antara tarikan pada pameran ini adalah model Masjid Nabawi ketika era Rasulullah dilahirkan, berhijrah sehingga hari ini.
“Turut dipamerkan dan paling menarik, kami bawa artifak asli, al-Quran berusia ratusan tahun yang ditulis di atas kulit kambing sebesar dua kaki selembar serta 38 jilid buku kajian bergambar tentang sejarah Mekah dan Madinah,” katanya.
Beliau berharap, pameran itu menyuntik kefahaman lebih mendalam terutama dalam kalangan generasi muda dan umat Islam yang merindui kasih yang dicurahkan Baginda buat umatnya.
“Selain itu kita juga bawa replika rumah Rasulullah, suasana di Bani Saad dan peristiwa mengaitkan Halimatun Saadiah pada zaman itu.
“Orang ramai juga diberi peluang menikmati air zam zam dan kurma sukkari yang diberi percuma selepas menamatkan lawatan mereka di pameran ini,” katanya.
Tambahnya, pameran itu mampu memuatkan 20 individu bagi satu kemasukan dan dibuka bermula 10 pagi sehingga 10 malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.