
20 FEBRUARI: LIMA KELAB GOLF DI MELAKA DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA
TABOH NANING 21 Februari – Tawaran caj padang (Green Fees) percuma oleh lima kelab golf di negeri ini sempena cuti umum 20 Februari berjaya tarik lebih 760 pemain golf dari dalam serta luar Melaka.
Pengerusi Ayer Keroh Country Club (AKCC), Datuk Rahmad Mariman berkata, tawaran yang diberikan bersempena Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu mendapat sambutan di luar jangkaan.
Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri memaklumkan, inisiatif itu sekali gus membuka ruang dalam mempromosikan lapangan golf yang ada di bumi Hang tuah ini.
“Permainan golf yang dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka sempena Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan mendapat sambutan baik yang mana lebih 760 pemain dari dalam serta luar Melaka terlibat.
“Semua lima kelab golf telah memberikan Green Fee percuma, sambutan amat baik dan kita berharap inisiatif yang dilakukan Kerajaan Negeri ini dapat membantu mempromosikan lapangan golf yang ada di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Makan Malam Kelab-Kelab Golf Negeri Melaka Sempena Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di A’Famosa Golf Club, di sini, semalam.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad.
Ditanya sama ada kelab-kelab golf di Melaka bersedia meneruskan insentif Green Fee percuma pada tahun hadapan, Rahmad memaklumkan, perkara itu amat disambut baik pihak pengurusan.
Namun jelas beliau, beberapa penambahbaikan mungkin akan diperhalusi antaranya mencadangkan program seumpamanya diadakan selama dua hari.
“Bagi tahun hadapan, pihak kelab golf akan menambah baik segala kekurangan dan dicadangkan untuk mengadakan permainan selama dua hari bagi membolehkan pemain luar membawa ahli keluarga dan seterusnya bercuti ke Melaka,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.