Sorting by

×

19 PELAJAR KOLEJ KOMUNITI KOTA MELAKA PAMER KEMAHIRAN DANDAN RAMBUT

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 21 April – Seramai 19 pelajar Diploma Dandanan Rambut Kolej Komuniti Kota Melaka mempamerkan kemahiran dandanan rambut, solekan dan penampilan diri pada Program Hair Show 2025 berlangsung di sebuah pusat beli-belah, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Kolej Komuniti Kota Melaka, Noorazizah Abu berkata program tersebut merupakan platform terbaik untuk meningkatkan keyakinan pelajar dalam mempersembahkan hasil kerja kepada umum.

Katanya, program yang bermula jam 10 pagi itu menerima sambutan hangat dan amat positif daripada pengunjung pusat beli-belah terbabit.

“Hair Show 2025 bertujuan untuk mempamerkan kemahiran pelajar dalam bidang dandanan rambut, solekan dan penampilan diri, selain memberi pendedahan secara langsung kepada orang awam mengenai kepakaran dan kreativiti yang dimiliki oleh pelajar kolej komuniti.

“Pelbagai segmen menarik diatur sepanjang acara berlangsung termasuk pertunjukan gaya rambut konsep fantasi moden, pertandingan rekaan rambut serta demonstrasi dandanan secara langsung.

“Selain itu, pengunjung disajikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian melibatkan Kumpulan Kebudayaan Citra Seni Kolej Komuniti Kota Melaka,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Noorazizah berkata program tersebut bukan sahaja mengasah bakat dan kreativiti pelajar, malah ia mampu membina keyakinan diri selain memberi pengalaman sebenar dalam suasana kerja di lapangan.

“Hasil karya pelajar dinilai oleh panel yang bertauliah daripada Kolej Komuniti Muar dan Panel Industri R50 Hair Lounge serta dibimbing oleh alumni yang merupakan Jawatankuasa Penasihat Industri Kolej Komuniti Kota Melaka.

“Pelajar turut menerima sijil penghargaan selepas program ini berakhir, ini sekali gus membuktikan komitment Kolej Komuniti Kota Melaka dalam melahirkan pelajar berkemahiran tinggi dan bersedia untuk pasaran kerja,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Kongsi :
Previous post POLIS MELAKA KOMITED BANTERAS SINDIKET MINTA SEDEKAH, JUAL KEREPEK
Next post KETUA POLIS BALAI DITAHAN POSITIF DADAH BAKAL BERDEPAN TINDAKAN TATATERTIB