19 pangkalan nelayan terjejas projek pembangunan KLIP

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LINGGI 2 November – Sebanyak 19 pangkalan nelayan di sepanjang pantai di perairan Melaka dan Negeri Sembilan terjejas dengan pembangunan projek pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP).

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah itu membabitkan 411 bot menangkap ikan berlesen terdiri daripada sampan dan bot enjin serta nelayan darat.

Justeru, jelasnya, dalam menjamin kemampanan sumber perikanan, pihak konsensi bertanggungjawab melaksanakan plan mitigasi demi menjamin sumber perikanan yang terjejas semasa tempoh tambak laut dilaksanakan.

“Pada tahun lalu, data Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merekodkan pendaratan ikan marin sebanyak 1,997.40 tan metrik dan pendaratan nelayan darat sebanyak 27.03 tan metrik.

“Kerajaan Negeri prihatin dengan masalah dihadapi nelayan, dan bersetuju untuk pemberian saguhati khas kepada nelayan Melaka yang kehilangan punca pendapatan akibat pembangunan projek KLIP dan bayaran akan diberikan dalam tiga fasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bayaran Saguhati Ex-Gratia Kepada Nelayan Yang Terjejas Akibat Cadangan Pembangunan Pelabuhan KLIP yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengerusi KLIP, Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Yaakob dan Pengarah Urusan KLIP, Tan Sri Noor Mustafa Kamal Yahya serta kenamaan lain.

Pada program tersebut seramai 463 nelayan yang terjejas menerima wang saguhati dengan nilai keseluruhan RM4,301,321.25 yang akan dibayar secara tiga fasa kepada nelayan-nelayan yang terkesan di daerah Alor Gajah, Melaka dan Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan.

KLIP membuat pembayaran ex-gratia secara keseluruhan berjumlah RM5,401,440 dan daripada jumlah itu RM1.1 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan infrastruktur dan pembangunan ekonomi nelayan Melaka Barat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1055
Kongsi :
Previous post JKM turun padang periksa taska, tadika
Next post Pelancongan astronomi Melaka mampu tarik 30,000 pengunjung
Ubah saiz-+=