Sorting by

×

19 NEGARA SERTAI FESTIVAL HALAL ANTARABANGSA MELAKA 2024

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 13 Disember – Pemain industri halal dari 19 negara luar mahu menjadikan Festival Halal Antarabangsa Melaka 2024 (MIHF’24) sebagai platform untuk mempromosi dan meluaskan lagi jaringan perniagaan mereka.

Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad berkata, perkembangan itu menunjukkan MIHF’24 berlangsung dari 20 hingga 22 Disember di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) berjaya menarik minat pengeluar produk halal antarabangsa.

Katanya, secara tidak langsung ia menunjukkan bahawa MIHF berpotensi untuk dikembangkan lagi pada masa akan datang dan menjadi platform pilihan bagi membina ekosistem industri halal global.

“Antara negara akan hadir nanti adalah wakil dari Jepun, Indonesia, Vietnam, Korea Selatan, Singapura, Nigeria, Taiwan, Bangladesh, China, Amerika Syarikat (US), Uzbekistan, Kazakhstan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iran.

“Peserta tempatan pula dari Negeri Sembilan Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Sabah, Pahang, Kedah, Perak dan selain pengusaha tempatan Negeri Melaka sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata MIHF’24 dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sesi padanan perniagaan, jualan makanan halal, produk kewangan dan kesihatan.

“Ketika ini kami sedang melakukan persiapan bagi memastikan MIHF’24 julung kali dianjurkan berjalan dengan lancar. MIHF’24 bukan sahaja bertujuan meraikan kepelbagaian budaya dan kulinari halal, tetapi berfungsi sebagai platform utama bagi membina jaringan perniagaan dalam kalangan pemain industri halal dunia.

“Dengan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal yang meningkat, festival ini muncul sebagai acara penting yang menghubungkan perniagaan, pengguna dan pemimpin industri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

145
Kongsi :
Previous post TIGA PEKERJA KONTRAKTOR MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK
Ubah saiz-+=