185 ACARA PELANCONGAN WARNAI TMM2024
SERI NEGERI 27 Disember – Sebanyak 185 acara-acara pelancongan telah mewarnai sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sepanjang Januari hingga November tahun ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira ABdul Razak Abdul Rahman acara-acara pelancongan berimpak tinggi itu menjadi antara penyumbang peningkatan kedatangan pelancong ke Melaka sepanjang tahun ini.
“Sehingga November 2024, Kerajaan Negeri Melaka telah menganjurkan sebanyak 185 acara-acara pelancongan sempena TMM2024 dan di antara acara-acara yang telah dianjurkan adalah seperti Raptor Watch, Pesta Gendang Nusantara, Sambutan Ulang Tahun Pengistiharaan Upacara Wangkang, Melaka Berselawat Bersama Ustaz Abdul Somad dan Habib Syech Assegaf, Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina serta Pertandingan Tarian Singa dan Naga Antarabangsa.
“Turut diadakan Pertandingan Memancing dan Pertandingan Masakan Ikan Air Tawar, Majlis Perasmian Kempen ‘Beli Cenderamata & Menang’ Aplikasi Jom Cari Makan, Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan, Larian Bomba, Pameran Hang Tuah, Pameran Kenderaan Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor, Karnival Agrofest Melaka, Festival D’Bendang Melaka, Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM), Jelajah Karnival KPDN Zon Selatan dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai penganjuran TMM2024 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Menurut Abdul Razak, sempena TMM2024 juga Kerajaan Negeri turut menampilkan kelainan dengan memperkenalkan beberapa acara pelancongan baharu, antaranya program Melaka Bila Larut Malam atau Melaka Nightlife yang telah dilancarkan pada 24 Mei 2024.
Selain itu, ujar beliau Set Kombo Menu RM10 turut dilancarkan sempena Melaka Bila Larut Malam yang disertai 45 pengusaha restoran, kafe dan kedai makan menawarkan harga makanan pada harga mampu milik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.