1,843 anggota, pesara polis terima Pingat Jasa Pahlawan Negara

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 26 September – Seramai 1,843 pegawai dan anggota termasuk pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Melaka dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN).

Penganugerahan pingat berkenaan disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dalam Istiadat Penganugerahan PJPN Kontinjen Melaka di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri, di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata daripada jumlah itu, bagi tempoh 2014 hingga tahun ini, sebanyak 2355 permohonan menerusi laman ePesara diterima di kontinjen berkenaan.

Bagaimanapun, katanya seramai 801 penerima dianugerahkan secara istiadat manakala 1042 lagi menerima penganugerahan tanpa istiadat.

“Sehingga kini, seramai 512 penerima lagi masih belum menerima pingat dan kesemua mereka memohon untuk disempurnakan penganugerahan secara tanpa istiadat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi penganugerahan secara istiadat hari ini, seramai 184 pegawai dan anggota polis masih berkhidmat menerima PJPN.

“Seramai 165 lagi penerima membabitkan pesara polis yang pernah bertugas serta menetap di negeri ini,” katanya.

Untuk rekod, PJPN dizahirkan pada 5 Febuari 2014 bagi mengiktiraf dan menghargai keperwiraan, keberanian, pengorbanan serta kebaktikan petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2591
Kongsi :
Previous post Boleh jimat RM140 sebulan dengan bertani
Next post RoS buru persatuan terlibat jenayah, ganggu ketenteraman awam
Ubah saiz-+=