Sorting by

×

182 PARAMEDIK KOMUNITI PARLIMEN ALOR GAJAH SEDIA BERKHIDMAT

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

ASAHAN 5 November – Sektor kesihatan awam di Parlimen Alor Gajah kini terus diperkasa selepas seramai 182 sukarelawan Paramedik Komuniti dilantik dan dilancarkan secara rasmi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Paramedik Komuniti telah diperkenalkan menerusi pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka pada hujung tahun lalu melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB).

Jelas beliau, sukarelawan tersebut memainkan peranan penting dalam memberi bantuan awal sekiranya berlaku kes-kes kecemasan di kawasan kampung.

“Inisiatif Paramedik Komuniti telah mula beroperasi seawal 20 Februari lalu iaitu sewaktu program Hari Pengisytiharan Kemerdekaan awal tahun ini, di mana seramai 60 orang sukarelawan telah bertugas di lokasi pelancongan di antaranya bagi membantu para pelancong yang berdepan dengan masalah kesihatan ketika melancong ke tempat-tempat menarik di Melaka.

“Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan sebanyak 10 kursus Paramedik Komuniti tahap 1 dan tahap 2 dengan penglibatan seramai 274 orang paramedik komuniti seluruh Negeri melaka.

“Daripada jumlah 274 orang yang hadir, seramai 127 orang telah lulus tahap 1 manakala 64 orang telah lulus tahap 2 dan seterusnya Paramedik Komuniti yang berjaya melepasi tahap 2, akan didedahkan dengan suasana kecemasan di hospital pada tahap 3.

“Paramedik Komuniti yang telah lulus akan ditempatkan di kampung masing-masing dan akan bertanggungjawab untuk memberikan bantuan kecemasan awal kepada penduduk kampung sekiranya berlaku sesuatu keadaan yang tidak diingini ataupun berlaku kemalangan kecil secara tiba-tiba sebelum pesakit dihantar ke pusat perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Paramedik Komuniti Parlimen Alor Gajah di Auditorium Iltizam, ILP Selandar, di sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Adun Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Adun Gadek Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menyeru kepada anak muda di negeri ini agar bersama untuk menjadi sukarelawan Paramedik Komuniti demi menabur bakti kepada masyarakat, selain dapat mempelajari asas pertolongan cemas yang dapat menjadi satu kemahiran baharu buat mereka di masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post DUA LELAKI MAUT, KERETA DINAIKI LANGGAR PEMBAHAGI TOL
Next post POLIS RAMPAS DADAH LEBIH RM2.2 JUTA, TAHAN LIMA INDIVIDU
Ubah saiz-+=