180 PENARI, PEMUZIK DALAM DAN LUAR NEGARA BERHIMPUN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Seramai 180 penari dan pemuzik dalam dan luar negara terlibat sepanjang Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa 2024 bermula 22 hingga 27 Oktober.

Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA) Drs. Mohd. Nasruddin Rahman berkata festival tersebut diadakan bersempena International Cultural & Arts Festival 2024 @Sungai Melaka (ICAF 2024).

Katanya, festival tersebut dianjurkan Institut Warisan Melaka (INSWA) dengan kerjasama Melaka World Heritage Sdn Bhd, Tourism Melaka, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan International Council Of Organizations Of Folklore Festivals And Folk Art (CIOFF) Malaysia.

“Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa 2024 diadakan bertujuan membuktikan pengamatan kesenian serta nilai-nilai murni budaya yang berperanan dalam pembangunan sahsiah diri, ilmu, masyarakat dan negara.

“Seni budaya dan warisan juga berupaya memainkan peranan yang penting sebagai pemangkin pembangunan nilai kesenian dan kebudayaan terhadap masyarakat dan negara.

“Seramai 180 peserta yang terdiri daripada penari dan pemuzik terlibat sepanjang festival ini dan antara negara yang terlibat ialah Korea Selatan, Uzbekistan, Filipina, Thailand, Indonesia (Bengkalis dan Tanjung Pinang) manakala Malaysia (Selangor, Sabah, Sarawak dan Melaka),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata pengisian acara festival itu membabitkan persembahan kebudayaan di kawasan pelancongan di sekitar Melaka.

“Persembahan kebudayaan akan dilakukan di Menara Taming Sari, Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Muzium Rakyat, Victoria Fountain, Panggung Bangsawan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta persembahan kebudayaan pada Majlis Perasmian International Cultural & Arts Festival 2024 @Sungai Melaka.

“Matlamat festival ini lebih kepada memperkenalkan seni budaya, warisan dan kepelbagaian cara hidup rakyat melalui seni persembahan muzik dan tarian negara masing- masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post KEBAJIKAN, KESEJAHTERAAN RAKYAT JADI KEUTAMAAN – AB RAUF
Next post ORANG ASLI GEMBIRA DAPAT LESEN
Ubah saiz-+=