
18 PROGRAM MERIAHKAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-22 BANDARAYA MELAKA BERSEJARAH
AYER KEROH 12 April – Sebanyak 18 program dan acara telah dirangka Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sempena Ulang Tahun ke-22 Bandaraya Melaka Bersejarah.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, program itu disusun membabitkan pelbagai pengisian dan penglibatan warga bandaraya.
Menurut beliau, antara program yang telah dilaksanakan adalah seperti Iftar Santai bersama YAB Ketua Menteri Melaka yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung serta Ceramah Perdana bersama pakar motivasi, Datuk Fadzilah Kamsah bersempena Ramadan lalu.
Selain itu, katanya turut diadakan majlis kesyukuran dan bacaan yasin peringkat Dewan Undangan Negeri di 10 buah masjid dan kemuncaknya adalah Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin Perdana yang diadakan di Masjid Al-Aminin, Klebang, pada 15 April ini yang akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
“Sambutan ulang tahun ke-22 ini juga akan dirancakkan dengan program Sesi Libat Urus Bandaraya Melaka Pintar dan Mampan pada 22 April dan Bengkel OSH Coordinator MBMB pada 28 hingga 30 April.
“Selain itu, pada 10 Mei pula akan diadakan 24H Ultra Marathon di Taman Bandaraya Bukit Serindit; Fiesta E-Sport MBMB pada 14 hingga 15 Jun; Hari Taman Bandaraya pada 20 hingga 22 Jun dan Pertandingan Karom Piala Datuk Bandar pada 28 hingga 29 Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam Podcast Mana Lagi Melaka Ler di Studio Melaka TV.
Jelas Shadan, sambutan ulang tahun itu diadakan adalah bagi mengimbau kembali sejarah Melaka Bandaraya Bersejarah menjadi pihak berkuasa tempatan yang merupakan kerajaan ketiga dalam negara.
Menurut beliau, sebelum dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya pada 15 April 2003, MBMB terlebih dahulu dikenali sebagai Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB).
“Selepas dinaik taraf MBMB menggalas tanggungjawab lebih besar bagi mengekalkan pencapaian sedia ada sert merealisasikan harapan warga bandaraya supaya menjadi bandaraya lestari dan pintar.
“Sudah pasti dengan kematangan ini, MBMB selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dan responsif.
“Diharap agar seluruh warga Bandaraya Melaka terus komited dalam memberi sokongan penuh kepada MBMB dan Kerajaan Negeri dalam pelbagai agenda yang dirancang demi menjaga kebersihan dan keindahan negeri tercinta ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.