18 individu ditahan terbabit kegiatan judi
AYER KEROH 7 Jun – Seramai 18 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan judi atas talian dan menjual loteri awam dicekup dalam serbuan Op Dadu dan Op Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.
Semua mereka yang berusia antara 25 hingga 58 tahun ditahan hasil serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bermula Selasa hingga semalam.
Ketua JSJ negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, semua suspek berkenaan ditahan di sekitar daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
“Dalam operasi berkenaan, polis menjalankan 13 serbuan berasingan iaitu menggempur satu pusat panggilan judi atas talian, tiga ke atas aktiviti judi loteri awam dan sembilan aktiviti perjudian atas talian tambah nilai.
“Hasil serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM1,843 serta beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan judi terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua 18 individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Katanya, empat daripada semua suspek turut dikenakan kompaun RM1,500 mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.