
175,660 PENGUNJUNG PILIH ‘MELAKA RIVER CRUISE’
BANDARAYA MELAKA 28 Februari – Seramai 175,660 pengunjung dan pelancong memilih untuk meneroka Melaka dengan menaiki bot ‘Melaka River Cruise’ bagi tempoh dua bulan pertama 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata angka itu rekod bagi tempoh 1 Januari hingga 25 Februari lalu.
Katanya, angka itu menunjukkan peningkatan yang amat positif hasil daripada penganjuran pelbagai program promosi selain pakej menarik yang ditawarkan kepada orang ramai.
“Pada tanggal 20 Februari yang menawarkan kemasukan percuma bersempena Hari Pengisytiharaan Kemerdekaan Tanah Melayu pula seramai 9,980 pengunjung dan pelancong memilih produk kami, jumlah direkodkan adalah dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Alhamdulillah ada peningkatan mendadak yang mana menerusi tawaran sama tahun lalu seramai 8,000 pengunjung dan pelancong memilih Melaka River Cruise, terima kasih kerana terus menyokong kami,” katanya kepada ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulan Februari 2025 PPSPM di Ruang Galeri Pejabat PPSPM, Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Shaharul Azuar berkata, hasil promosi yang agresif selain pelbagai aktiviti menarik dianjurkan bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM) tidak mustahil sasaran mencapai satu juta jumlah pengunjung dan pelancong mampu dicapai pada tahun ini.
“Kami akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, memberi layanan lebih mesra kepada pengunjung dan menjaga penampilkan kakitangan PPSPM, biar sentiasa kemas dan menarik.
“Usaha ini juga adalah sebagai tanda kami menyokong penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) pada September ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.