17 PASUKAN RAGBI SELURUH NEGARA BERKAMPUNG DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 September – Sebanyak 17 pasukan ragbi seluruh negara berentap merebut gelaran juara pada Kejohanan Melaka International Rugby 10s.

Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, kejohanan berlangsung selama tiga hari di Stadium Hang Tuah itu mempertandingkan tiga kategori.

Menurutnya, kejohanan diadakan itu bersempena ‘Karnival Merdeka Kehidupan Lebih Baik, Bersama Bank Muamalat’ yang mengangkat tema perpaduan, kebersamaan dan patriotisme dengan pengisian aktiviti yang menarik untuk para pengunjung.

“Sepanjang tiga hari bermula 30 Ogos lalu kejohanan ragbi antarabangsa ini telah melibatkan kategori bawah 14 tahun disertai pasukan daripada sekolah-sekolah pembangunan ragbi, diikuti kategori terbuka lelaki di mana ia disertai pasukan ragbi tempatan dan antarabangsa serta kategori veteran tempatan.

“Bank Muamalat tahun ini tampil dengan kelainan bagi menyambut bulan kemerdekaan serta meraikan ulang tahun penubuhan bank ini yang ke-25. Melaka dipilih sebagai lokasi terbaik penganjuran karnival ini, sekali gus memeriahkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kita akan sentiasa bergerak proaktif dalam usaha memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia dan Insya-Allah kita akan melaksanakan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meneruskan usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kejohanan itu selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Presiden Persatuan Ragbi Negeri Melaka (Melaka Rugby), Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka, Mohd Asri Ninggal dan Presiden Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

Terdahulu, kejohanan itu menyaksikan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) muncul juara selepas menewaskan pasukan Bank Muamalat Bullets pada peringkat akhir perlawanan.

Sebagai johan pasukan SSTMI menerima pingat, piala iringan dan wang tunai RM5,000 disampaikan Ab Rauf.

Dalam pada itu, Zury Rahimee berkata, kejohanan julung kali diadakan itu akan terus dianjurkan pada masa akan datang.

“Untuk kejohanan kali ini ia telah melibatkan seluruh pasukan dari setiap negeri selain penyertaan antarabangsa antaranya dari Singapura,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

661
Kongsi :
Previous post LEBIH 1,000 SERTAI KAYUHAN MERDEKA DUN TELOK MAS
Next post LAKSANA PROGRAM DI LUAR BANDAR, DEKATKAN RAKYAT DENGAN PEMIMPIN
Ubah saiz-+=