17 negara kongsi kepakaran teknologi nuklear

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDA HILIR 24 Oktober – Lebih 30 peserta dari 17 negara berkumpul bagi berkongsi pandangan dan pengetahuan untuk memanfaatkan teknologi nuklear dalam aktiviti pencirian serta konservasi membabitkan artifak daripada kapal yang karam.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan berkata, meskipun penggunaan teknologi nuklear dalam pencirian artifak sudah lama dipraktikkan namun perkongsian maklumat dan diskusi masih diperlukan bagi menambah baik serta mengembangkan lagi teknik-teknik terbaharu.

Dr. Rosli berkata, penganjuran Regional Training Course On The Application Of Nuclear Techniques For Characterization And Preservation Of The Artifacts Obtained From The Shipwreck’, membincangkan gambaran mengenai pencirian dan pemuliharaan artifak menggunakan teknik saintifik, terutamanya kaedah nuklear bagi pencarian membabitkan kapal karam di lautan.

Katanya selain Malaysia, kursus lima hari itu turut dihadiri peserta dan pakar daripada Palestin, Oman, Jordan, Filipina, Kemboja, serta Iran.

“Peserta turut membentangkan lapan kertas kerja berkaitan teknologi nuklear ini. Antara yang dikongsikan adalah kaedah pengendalian betul membabitkan artifak kapal karam terdedah kepada kerosakan, termasuk teknik penggalian dan pemuliharaan.

“Penggunaan teknologi nuklear dalam pencirian artifak sudah lama diamalkan, meskipun timbul persepsi negatif tetapi amalan ini adalah untuk kearah kebaikan. Seperti galian lain, contoh arang batu, nuklear juga mempunyai manfaat bagi tujuan yang membawa kebaikan.

“Kalau kita ingin tahun ciri-ciri terkandung dalam artifak, tekonologi nuklear ini akan digunakan untuk membuat analisa. Malah pencirian untuk mengetahui umur artifak juga dapat dibuat termasuk pemuliharaan manuskrip lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam sempena ‘Regional Training Course On The Application Of Nuclear Techniques For Characterization And Preservation Of The Artifacts Obtained From The Shipwreck’, di Bangunan Stadthuys, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) merangkap Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Yusof; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A Kasim dan Pengurus Besar Perzim Drs. Mohd Nasruddin Rahman.

Ujarnya, di Malaysia sendiri sudah banyak penemuan artifak yang menggunakan teknologi nuklear bagi proses pencirian dan pemuliharaan.

“Sebenarnya sudah banyak artifak yang dibuat pencirian dan pemuliharaaan menggunakan teknik ini seperti logam, meriam, senjata lama dan kita pernah bantu Jabatan Muzium dalam pencirian artifak emas.

“Sekarang ini kita cuba untuk kembangkan pula teknik ini kepada preservasi konsolidasi contohnya bagaimana hendak cantumkan artifak yang pecah menggunakan teknologi nuklear,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1223
Kongsi :
Previous post Panik ular sawa ‘berehat’ atas meja
Next post Belanjawan 2024 mantapkan institusi TVET
Ubah saiz-+=