Sorting by

×

17 kes, lebih RM15,000 nilai rampasan- KPDNHEP

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merekodkan 17 kes atas pelbagai kesalahan mengikut Akta KPDNHEP membabitkan nilai rampasan sebanyak RM15,781.15 dalam tempoh 1 Januari lalu hingga kelmarin.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, daripada jumlah itu, ia membabitkan lima kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (empat kes) dan masing-masing tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 selain dua kes Akta Perihal Dagangan 2011 dengan nilai kompaun RM2,000.

Katanya, rampasan berkenaan membabitkan barangan makanan, sayur-sayuran dan lain-lain kerana dijual melebihi harga maksimum di bawah skim kawalan tersebut.

“Bagi tempoh itu KPDNHEP negeri menjalankan 2,840 pemeriksaan atau purata kira-kira 54 premis diperiksa setiap hari termasuk cuti umum,” katanya pada sidang media selepas ‘Walkabout’ Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina (TBC) 2021 di Pasaraya Tesco Peringgit, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Muhamad Aizudin Mohd Said.

Beliau berkata, dalam tempoh sama tiga premis menjual pakaian masing-masing didenda RM1,000 kerana beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)

Mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan TBC 2021, katanya ia berkuat kuasa selama sembilan hari dari 8 hingga 16 Februari ini, iaitu empat hari sebelum perayaan, hari perayaan dan selepas perayaan.

Views:

455
Kongsi :
Previous post Mildef perkenal kereta perisai buatan Malaysia
Next post Dua pesakit COVID-19 ditahan curi 4 telefon di PKRC MAEPS
Ubah saiz-+=