168 anak yatim diraikan sempena 10 Muharam
DURIAN TUNGGAL 16 Julai – “Apabila ada program seperti ini hati saya akan sebak kerana secara tidak langsung anak dapat rasa sentuhan seorang ayah.
“Bagi saya program ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan, maknanya lebih besar. Inilah masanya anak-anak dapat berjumpa dengan orang ramai,” kata Nur Aswana Zainal Abidin, 37.
Tiga anak Nur Aswana, berusia antara dua tahun tujuh bulan hingga sembilan antara 168 penerima sumbangan pada Majlis Menyantuni Anak Yatim Peringkat Parlimen Alor Gajah Bersempena 10 Muharam 1445 Hijrah.
Nur Aswana berkata, selepas kematian arwah suaminya akibat jangkitan COVID-19 pada 2021 anak-anaknya menumpang kasih sayang datuknya mereka.
“Saya amat hargai sumbangan seperti ini kerana secara tidak langsung dapat membantu meringankan perbelanjaan anak-anak terutamanya anak kedua dan ketiga.
“Alhamdulillah rezeki buat anak, terima kasih kepada pemberi sumbangan termasuklah penganjur kerana begitu prihatin keatas nasib anak-anak yà tim,” katanya ketika ditemui di Masjid Ar Rahman, Parit Melana.
Terdahulu, majlis perasmian penyampaian disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Senator Datuk Mustafa Musa dan Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil.
Sementara itu, Fairul Nizam berkata, pada majlis itu seramai 168 anak yatim berusia 12 tahun dipilih untuk diraikan bersempena 10 Muharam.
“Kesemua anak-anak yatim yang kita raikan datang dari sekitar Parlimen Alor Gajah dan ini adalah tahun keenam UMNO Bahagian Alor Gajah mengadakan program sebegini.
“Insya-Allah ia akan diteruskan lagi pada tahun akan datang. Malah menariknya penganjuran ini apabila ramai penyumbang yang hadir secara sukarela tampil memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.