1,673 penyokong Melaka United pulang hampa

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

HASRAT 1,673 penyokong ingin menyaksikan Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) meraih kemenangan pertama di laman sendiri dalam aksi Liga Super 2022 masih belum kesampaian.

Sebaliknya, mereka disajikan dengan kekalahan kedua di laman sendiri apabila pasukan itu tewas 2-3 di tangan pasukan di tangga kedua tercorot, Sarawak United FC dalam aksi di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Walaupun mendahului dua kali, namun skuad kendalian Mohd Asri Ninggal terpaksa akur apabila Sarawak United berjaya melakukan kebangkitan di minit-minit akhir untuk mencuri tiga mata berharga.

Dalam aksi itu, kedua-dua pasukan yang bergelut di kelompok bawahan liga memulakan aksi dengan tempo pantas dalam misi memburu gol awal.

Namun, kelebihan beraksi di laman sendiri nyata memihak skuad Hang Tuah apabila berjaya mendahului pada minit ke-17 yang menerusi kapten pasukan Sony Norde.

Gol itu terhasil selepas Sony melakukan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Sarawak United Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Sarawak United berjaya menyamakan kedudukan lima minit selepas itu menerusi Gonzalo Soto.

Melaka selaku tuan rumah kembali memperkemas permainan dan Sony hampir menambah gol kedua pasukan, namun rembatannya pada minit ke-25 sekadar melewati palang.

Pada minit ke-34, Melaka United kembali di depan selepas Syazwan Andik bijak memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol.

Peluang itu diperolehnya selepas bola rembatan Adriano ditepis penjaga gol, sebelum pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim itu merembat deras bola muntah untuk menggegar jaring.

Tamat 45 minit separuh masa pertama, keputusan kekal 2-1 memihak Melaka United.

MELAKA – 25 JUN 2022, Pemain Melaka United FC, Mohamad Fadhli Mohd Shaz (kanan) bersaing dengan pemain Sarawak FC, Kouassi Francis Kone (tengah) dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini. Foto: MR. AZLI

Bersambung di babak kedua, Francis Kone berjaya membantu Sarawak United mengikat semula kedudukan pada minit ke-60 hasil situasi kucar-kacir di hadapan gawang.

Walaupun pemain Melaka United membantah gol tersebut, namun pengadil Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi tetap memberikan gol tersebut kepada pelawat.

Tersentak dengan gol itu, Melaka United membuat perubahan taktikal dengan memasukkan bekas pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menggantikan Mohd Shukri Baharun.

Namun, perubahan itu seakan tidak memberi impak ketara buat tuan rumah.

Sedang keputusan dilihat berakhir seri, pasukan pelawat berjaya memanfaatkan peluang di masa kecederaan, sekali lagi menerusi Francis Kone yang berjaya menjaringkan gol ketiga berpunca daripada sepakan sudut.

Ia sekali gus meranapkan impian tuan rumah untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata di laman sendiri.

Kekalahan itu menyaksikan Melaka United kini tersungkur ke tangga ke-10 liga dengan hanya mengutip lapan mata daripada lapan perlawanan.

Selepas ini, Melaka United dijadual melayan kunjungan pendahulu Liga Super, JDT di Stadium Hang Jebat, 2 Julai ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2410
Kongsi :
Previous post Perketat kawalan pintu sempadan, elak ganja masuk Malaysia
Next post KKM keluar 335 notis kesalahan merokok dalam operasi di ibu negara
Ubah saiz-+=