160 graduan cilik Alor Gajah diraikan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MACHAP JAYA 9 Februari – Seramai 160 graduan cilik dari Tabika Perpaduan dan Taska GENIUS Perpaduan Daerah Alor Gajah diraikan pada satu majlis konvokesyen yang diadakan di Kompleks Japerun Machap Jaya, baru-baru ini.

Mereka yang diraikan ialah 149 murid yang akan melangkah ke sekolah kebangsaan dan 11 kanak-kanak yang tamat sesi asuhan di taska dan akan mengikuti sesi pendidikan formal di tabika, tadika atau pra sekolah.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Ngwe Hee Sem.

Menurut Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff, Tabika Perpaduan telah wujud sejak tahun 1976 yang mana ia merupakan agenda Kementerian Perpaduan dalam penyediaan pendidikan awal kanak-kanak.

Jelasnya, setelah lebih 45 tahun memainkan peranan dan menggalas tanggungjawab, Tabika Perpaduan kini dimantapkan dan diberi nafas baharu melalui Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030.

Whatsapp Image 2024 02 02 At 18.59.09
HEE Sem bergambar bersama warga kerja Tabika Perpaduan dan Taska GENIUS Perpaduan daerah Alor Gajah.

“Pembangunan Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 adalah berteraskan prinsip Rukun Negara selari dengan aspirasi Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 yang menggariskan enam teras dan 14 strategi akan dilaksanakan melalui pelbagai program yang telah disusun.

“Buat warga pendidik serta ibu bapa dan penjaga, kalian adalah paksi, penyumbang dan ejen perubahan kepada pengukuhan dan kemajuan Tabika Perpaduan.

“Saya amat menghargai komitmen tinggi dan pengorbanan masa, tenaga dan wang mahupun doa kalian dalam menjayakan sebarang program dan aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak JPNIN,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1595
Kongsi :
Previous post Ajal rempuh belakang kereta peronda lebuh raya
Next post Tingkat jumlah perjawatan awam Melaka
Ubah saiz-+=