16 tahun kayuh basikal tua kibar Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat
PENGKALAN BATU 15 Ogos – “Selagi ada kudrat dan tenaga saya akan terus berkayuh sempena bulan Kemerdekaan kerana cara ini sahaja dapat saya tunjukkan rasa cinta kepada tanah air dan menyebarkan semangat patriotik.
“Bermula Isnin lepas, setiap petang selepas habis bekerja saya akan berkayuh di sekitar kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pengkalan Batu. Cuma ini sumbangan saya kepada negara,” kata warga emas A Sothi Vandamalai, 73, warga emas yang berbasikal mengibarkan Jalur Gemilang.
Menurut bapa kepada dua anak itu, rutin berbasikal mengibarkan Jalur Gemilang dibuatnya sejak 16 tahun lepas dengan menggunakan basikal tua miliknya berusia lebih 30 tahun.
Katanya, sekiranya pejuang sanggup menggadai nyawa berkorban untuk kemerdekaan negara sehingga rakyat Malaysia dapat hidup aman harmoni pada hari ini, tindakannya mengibarkan Jalur Gemilang hanyalah usaha kecil.
“Mungkin sesetengah orang fikirkan ianya tiada apa-apa namun bagi saya ia suatu yang cukup bermakna kerana dengan mengibarkan Jalur Gemilang ini kita dapat menarik minat dan semangat masyarakat yang lain termasuk anak kecil.
“Tidak semua orang senang melihat tindakan naik basikal kibarkan Jalur Gemilang tetapi saya tidak kisah pandangan mereka kerana apa yang penting ini penghargaan saya kepada negara tercinta,” katanya.
Menurut Sothi Vandamalai, dia bersyukur selain keluarga, usahanya itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin sehingga dia dihadiahkan sebuah basikal baharu untuk meneruskan usaha mengibarkan Jalur Gemilang.
“Usia basikal ini memang sudah tua dan sebelum ini saya ada suarakan hasrat kepada Datuk Kalsom untuk minta basikal baharu tidak sangka beliau ambil cakna sekali gus tunaikan permintaan saya ini.
“Hanya ucapan terima kasih saya mampu ucapkan, tidak terbalas jasa Datuk dan kini saya sedang hias serta siapkan basikal baharu untuk berkayuh. Setiap tahun saya akan berkayuh bermula awal Ogos sehingga September,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2188
Kongsi :
Previous post Van sekolah terbabas, 17 cedera
Next post Menyemai semangat komuniti patriotik
Ubah saiz-+=