
16 kawasan MPHTJ terjejas ribut – Sapiah
AYER KEROH 12 Februari – Sekurang-kurangnya 16 kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) terjejas akibat hujan lebat dan ribut yang berlaku petang tadi.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, antara lokaliti yang terjejas ialah Bemban, Tehel, Batu Berendam, Sungai Putat, Ayer Keroh dan beberapa kawasan lain.
“Sebanyak 16 kawasan di bawah MPHTJ yang terjejas ini melibatkan pokok tumbang atas kenderaan, pokok tumbang hempap rumah, pokok tumbang menghalang jalan.
“Bagaimanapun, saya dan pasukan MPHTJ telah pergi melawat beberapa kawasan terlibat dan menasihati mangsa-mangsa untuk pergi membuat laporan polis dan bawa laporan terbabit ke MPHTJ untuk urusan insurans,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perayaan Ponggal Perpaduan di Dataran Ayer Keroh, malam ini.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, turut terjejas dengan insiden itu ialah enam lot kedai di Tapak Jualan Kraf Taman Botanikal Ayer Keroh yang bumbungnya dihempap pokok tumbang.
“Saya telah mengarahkan peniaga-peniaga terbabit untuk bawa keluar barang mereka dan esok kita akan betulkan bumbung yang rosak dan beberapa kerosakan lain akan dibaiki,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.