
16.5 JUTA PELANCONG DIJANGKA MELAWAT MELAKA SEPANJANG 2025
BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Seramai 16.5 juta orang pelancong disasar akan melawat Melaka sepanjang tahun ini, sekali gus memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, sasaran itu adalah berdasarkan kemasukan pelancong seramai 15.032 juta orang sepanjang berlangsung kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang menjana hasil pendapatan sebanyak RM12.68 bilion.
“Pada tahun ini pula, kita mensasarkan kehadiran 16.5 juta pelancong dengan sasaran hasil pelancongan negeri berjumlah RM17.973 bilion.
“Justeru, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk meneruskan inisiatif Tahun Melawat Melaka sehingga tahun 2026 bagi memastikan momentum pertumbuhan sektor pelancongan ini terus diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025, di sebuah hotel di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta barisan kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, bagi pihak Kerajaan Negeri beliau yakin sasaran untuk menggamit lebih ramai pelancong dengan sasaran 35.6 juta orang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 akan tercapai.
“Insya-Allah, saya yakin sasaran itu pasti tercapai dengan sokongan dan dokongan khususnya dari negeri pelancongan seperti seperti Melaka.
“Malah dengan kerjasama semua pemain industri pelancongan akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.
“Bukan itu sahaja, saya percaya dengan kerjasama semua sahabat media dan rakan Tiktokers Negeri Melaka pastinya akan membawa Melaka dan Malaysia terus ‘mendonia’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.