
154,485 MURID, PELAJAR MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN 2025/2026 DI MELAKA
BUKIT KATIL 17 Februari – Seramai 154,485 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan di 318 buah sekolah bagi Sesi Akademik 2025/2026 seluruh Negeri Melaka, hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor berkata mengikut pecahan, pembukaan sesi persekolahan kali ini melibatkan seramai 87,266 murid di 238 sekolah rendah dan 66,547 pelajar di 80 sekolah menengah.
Katanya, seramai 13,922 murid mendaftar Tahun 1 di 238 sekolah rendah membabitkan 523 kelas, sementara itu seramai 14,021 pelajar tingkatan 1 mendaftar di 75 buah sekolah menengah melibatkan 398 kelas secara keseluruhan.
“Manakala peringkat prasekolah pula melibatkan 5,622 murid berusia enam tahun memulakan sesi persekolahan di 175 institusi pendidikan yang menawarkan prasekolah dengan 257 kelas keseluruhannya.
“Pihak sekolah sentiasa memastikan program minggu pertama sekolah bagi setiap sesi akademik berjalan dalam suasana ceria, mesra dan menyeronokkan bagi mewujudkan persekitaran persekolahan yang mesra,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Melawat Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalender Akademik Sesi 2025/2026 yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Ruji Ubi di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Politik Kanan Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Dalam pada itu, Mahfudzah turut memaklumkan Jabatan Pendidikan Melaka bakal membuka sebuah kelas prasekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bemban pada Julai depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.