15,000 anggota APM sedia diatur gerak bantu operasi bencana seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 15 Sept – Sekurang-kurangnya 10,000 hingga 15,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di seluruh negara bersedia dan fleksibel untuk diatur gerakkan pada bila-bila masa bagi membantu operasi bencana banjir di negeri lain.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dr Norhafifi Ismail berkata, bagaimanapun bilangan tepat anggota terbabit masih di peringkat kajian.

Katanya, ketika ini pihaknya melakukan kajian khusus di setiap Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA) bagi menentukan bilangan anggota yang bersedia dan boleh ditugaskan pada bila-bila masa dalam tempoh 24, 48, 72 jam.

 

NORHAFIFI.

“…jadi mudah kita gerakkan mereka untuk membantu sama ada daerah masing-masing atau daerah yang lain.

“Itu strategi yang mungkin selama ini kita lakukan tapi tidak berapa strategik sebab kita tidak tahu (jumlah) sebenar anggota yang boleh dikerahkan.

“Dengan kajian sebegini kita akan tahu dengan tepat bilangan anggota dari negeri-negeri yang dekat dengan negeri yang terbabit banjir untuk dikerahkan,” katanya sambil menambah langkah strategik itu membolehkan segala aset digembeng dengan sebaiknya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika lawatan kerja ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah APM Melaka, Cuthbert John Martin Quadra.

Mengulas lanjut, Norhafifi berkata, Melaka adalah negeri pertama melengkapkan kajian itu dengan mengkoordinasikan seramai 1,200 anggota yang aktif dan fleksible untuk bantuan bencana di negeri lain.

“Justeru, dalam masa terdekat ini saya akan arahkan PNPA lain untuk membuat langkah yang sama membolehkan atur gerak anggota APM lebih sistematik dan segala perancangan berjalan lancar.

“Laporan lengkap kajian tersebut dijangka diperolehi pada awal November depan,” katanya.

Sementara itu, katanya Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran MTL tidak akan selebat tahun sebelum ini, namun pihaknya tetap perlu bersedia lebih awal menghadapi sebarang kemungkinan.

“Selain itu, kita juga mempunyai pengalaman yang mana negara dilanda banjir dan COVID-19 dalam waktu yang sama, menyebabkan penggunaan logistik dilakukan secara maksimum.

“Jadi, pasukan bantuan dari negeri lain yang tidak dilanda bencana perlu digerakkan bersama-sama aset mereka, kerana sebagai contoh tahun lepas, satu trak mungkin boleh dinaiki seramai 30 orang tetapi disebabkan COVID, kita hanya boleh membawa 15 mangsa sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu Norhafifi memaklumkan pada tahun ini APM juga akan menerima beberapa aset baharu termasuk 100 ambulans, bot dan pengangkutan lain yang akan diberikan secara berperingkat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post Langkawi: Bermula esok pelancong wajib jalani ujian saringan COVID-19 – Khairy
Next post Program sekolah angkat INSWA, memartabatkan seni warisan dondang sayang
Ubah saiz-+=