Sorting by

×

1,500 papan telur dan petrol bakal diagih di Masjid Tanah

Masa Membaca:57 Saat

MASJID TANAH 1 Mei. – Sebanyak 1,500 papan telur dan minyak petrol percuma bakal diagihkan buat anak jati Masjid Tanah dalam program yang akan diumumkan sedikit masa lagi.

Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, menerusi program kongsi rezeki itu pihaknya menyasarkan sejumlah petak telur itu untuk diagihkan kepada orang ramai dengan meletakkannya di setiap Japerun dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Katanya, sumbangan itu akan diberikan kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang supaya dapat menceriakan mereka menjalani Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba.

“Malah, tiga hari sebelum Syawal ini kita juga menawarkan minyak petrol percuma buat penunggang motosikal yang merupakan penduduk di Masjid Tanah.

“Menerusi program ini UMNO Masjid Tanah akan bekerjasama dengan enam stesen minyak di kawasan ini bagi mengagihkan petrol percuma bernilai RM5 untuk sebuah motosikal.

“Program ini bertujuan menyantuni penduduk di Masjid Tanah dalam kebersamaan mereka menjaga keharmonian di kawasan ini sekali gus mendekatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Perasmian Gerobok Rezeki di Pasar Ramadan Masjid Tanah, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post 5,000 juadah percuma habis tak sampai 15 minit
Next post Ambil bubur lambuk, percuma topi keledar
Ubah saiz-+=